Jan 12, 2012

Terlalu Banyak Memori Indah, Terlalu Banyak Dosa

Tahun 2011 adalah tahun yang bermacam-macam aku lalui. Banyak pahit, manis, kelat dan masin. Aku tak kisah sikit pun dengan semua tu, hidup bagaikan satu masakan. Pelbagai rasa untuk kita nikmati, aku anggap ini semua kebahagiaan. Indah untuk aku jatuh dan bangun semula, setiap kali aku jatuh aku akan bangun, malas lagi nak belek-belek semua sejarah. Sepuluh kali aku jatuh sebelas kali aku akan bangun. Dah cukup masak dengan pengalaman ini. Lagi pun jika orang yang follow blog ini dari tahun 2008 tahu macam mana aku bermula. Dari belajar sampailah aku graduate, kerja, berhenti kerja, kerja balik, putus cinta, cinta berputik balik sampai kamu semua pun dah naik muak bukan?. Well ini blog aku, jadi cerita semua pasal pengalaman hidup aku.

Satu sahaja yang aku tak pernah cerita dalam blog ini adalah tunang aku. Ya aku sudah bertunang dan kami akan bernikah pada 1hb Jun 2012.

Ramai kawan-kawan aku bertanya "why so sudden?". Love happen f
or no reason kawan.

Jujur aku cakap, aku pun tak tahu apa yang berlaku. Macam mana semua ni boleh berlaku pun aku tak tahu. Yang aku tahu, ia bergerak terlalu pantas, sangat pantas sampai aku sendiri tak sempat menoleh ke belakang, tengok kiri dan kanan dulu.

Aku rasa, ia seperti perkara yang sudah tertulis. Pada tarikh ini aku berjumpa dengan perempuan ini, dan pada tarikh ini mak aku merisik dia dan pada tarikh ini aku bertunang. Semua macam dah tertulis, aku tak boleh nak halang.

Perjalanan cerita ini bergerak dengan sempurna, halangan yang ada kami lalui dengan mudah. Actually tak ada lah semudah seperti kamu semua bayangkan, bukan semudah ayat aku ni.

Tapi apa pun, ia berjalan dengan baik-baik sahaja.

Dan aku tak boleh menolak takdir ini semua.

Cuma kenapa aku tak pernah ceritakan kisah tunang aku dalam blog ini?. Setelah dah tunang masuk dua bulan baru aku cerita. Masa bercinta tak sikit pun aku tulis. Sebab, aku rasa dia sangat istemewa. Sampai kawan-kawan dekat aku pun aku tak pernah bercerita.

Seorang kawan aku namanya Uzair - oh Uzair juga kawan baik kepada tunang aku, dia tahu kami bercinta masa dah nak pergi ke majlis tunang. Actually benda ni mengejutkan dia juga.

Aku banyak rahsiakan pasal perempuan ini, sampai hari ni baru aku ceritakan apa yang aku rasa tentang dia.

Bagaimana aku tahu dia lah orang yang aku cari selama ini?.

Jawapannya mudah, aku jumpa aku dalam diri dia.

Tiap kali aku nak rasa bengang kat dia, tiap kali itulah juga aku sedar yang aku pun macam tu juga. Kami suka buat benda sama-sama. Kami suka makan, kami suka jalan-jalan tanpa plan, kami suka buat benda-benda yang random. Hanya dengan dia buat aku rasa selesa. Aku jadi diri aku yang sebenar.

Dan aku tak pernah sangka, seorang makwe yang aku kenal pada tahun 2009 ini yang pada mulanya tak terlintas langsung dalam fikiran aku untuk bercinta akan bakal menjadi isteri aku.

Well itu sudah ditakdirkan dan aku akan hadapi hari-hari seterusnya bersama dengan aku yang lagi satu. Apa yang aku mahukan hanyalah bersama dengan dia. Inilah satu-satunya perempuan yang paling sanggup melayan karenah aku yang macam-macam.

Suka hati lah kalau nak muntah pun.

:)
Ini gua yang lagi satu, perangai pun sama gampang je.

Jan 10, 2012

I Tak Busy Sangat Sekarang

Jadi I pun pergi lah shot main-main dengan kengkawan I kat Desaru sana. Inilah cara I membuang masa I. You ols tengok lah video ni ya.

Jan 5, 2012

Rasa Dari Sebarang

Nasib baik bila aku nak log in tadi masih ingat lagi password blog ni, dah nak bersarang nampaknya. Aku update blog kali ni bukan sebab nak cerita pasal diri aku, dah nak muntah kalau aku cerita kisah jiwang macam dulu-dulu, semua orang yang pernah baca blog ni pun tahu aku ni hopeless romantic. Lagi pun kisah cinta tragik aku dah nak tamat, dah dua bulan aku bergelar tunang orang, tengah tahun ini aku kahwin. Ah sebelum aku cerita pasal tunang aku panjang lebar baik aku kembali kepada niat asal aku untuk catitkan sesuatu diblog picisan ini.

Dari seberang tambak aku perhatikan negara yang tersayang, Malaysia. Aku perhatin apa yang sedang berlaku. Sesekali aku baca utusan, harakah atau tonton hal-hal semasa di youtube. Rasanya sangat panas, macam-macam isu. Atas rasa sayang itulah juga buat aku rasa tidak selesa. Apa benda semua kegilaan ini?.

Rupanya selepas tengok apa yang sedang berlaku baru aku faham, tahun ini menjadi kebangkitan yang sangat ketara bagi golongan muda. Lebih ekstrem dan progresif. Orang muda mula berdemonstrasi tanpa mengharapkan golongan tua, mereka mencanangkan resolusi dan buah idea mereka sendiri. Aku bangga melihat kepada perkembangan politik muda mudi Malaysia. Tiap kali aku bercerita kepada kawan-kawan aku di Singpura, mereka sangat teruja melihat betapa garangnya anak muda Malaysia. Mesej yang dilaungkan sekarang adalah jelas, anak muda mula mahu bersuara pertahankan hak mereka.

Maksud aku, bukan sahaja hak anak muda yang pro pembangkang tapi juga pro kerajaan. Yang pro pembangkang mahukan pertukaran sistem kerajaan dilakukan, bagi mereka rejim ini perlu dijatuhkan. Istilah rejim sentiasa mereka gunakan semasa melaungkan idea-idea dan slogan perjuangan. Yang pro kerajaan pula melaungkan hak mereka supaya kerajaan yang sedia ada perlu dikekalkan, menurut mereka negara ini sangat aman makmur, tidak perlu menimbulkan sebarang perkara yang boleh mencetuskan ketidakstabilan. Mereka juga mempunyai hak untuk menghalang demonstrasi, kerana itu juga beberapa hari yang lalu demonstrasi mahasiswa sayang PM dilakukan. Demonstrasi ini berlaku dengan sangat aman.

Ya ia berlaku dengan aman kerana FRU dan pihak polis tidak memukul mahasiswa yang berkumpul, ia mungkin menjadi aman juga untuk demonstrasi anti AUKU di UPSI menjelang sambutan awal tahun baru lalu. Atau mungkin tidak, kerana di satu pihak yang berada dalam keadaan oppressed akan lebih bersikap ofensif sehingga menyumbang kepada tindakan seterusnya oleh pihak yang berkuasa. Biasalah, ini lumrah manusia. Kita akan mula bertindak sedikit garang sekiranya kita berada di pihak yang tertekan berbanding dengan mereka yang dikelaskan selesa.

Bagi aku, situasi politik di Malaysia pada tahun ini adalah sangat menarik dan boleh aku sifatkan ini adalah tahun yang sungguh menarik perhatian, ditambah pula dengan perisa Perhimpunan Bersih yang baru berlaku tahun lepas. Apa yang aku cuba maksudkan di sini, ia makin menarik kerana wujudnya satu lagi golongan yang tidak memihak kepada mana-mana pihak - walaupun persepsi untuk neutral sudah lama wujud tapi kali ini mereka seperti dalam wajah yang berlainan. Kewujudan mereka tidak bersifat fizikal tapi lebih kepada pendapat-pendapat yang dilontarkan di dalam internet. Aku misal salah satunya?.

Dulu kebanyakkan golongan ketiga ini lebih bersifat dingin tapi menjelang tahun ini perubahan semakin ketara, mereka mula menyuara pendapat mereka sendiri. Mereka hentam pro kerajaan, pro mahasiswa, pro pembangkang dan semuanya. Hentam yang aku maksudkan bukanlah mengunakan ayat-ayat fitnah atau caci maki. Mereka mula mempersoalkan sejauh mana kredebiliti pihak pembangkang untuk menumbangkan pihak kerajaan. Adakah tindakan Adam Adli itu satu tindakan yang rasional atau sebaliknya. Secara tidak langsung wujud tiga pihak yang semakin agresif. Bagi pendapat dangkal aku, pihak neutral ini lebih ramai daripada pihak yang pro kerajaan dan pro pembangkang. Mereka adalah majoriti rakyat Malaysia. Dan keputusan pilihan raya terletak banyak di tangan pihak ketiga ini.

Kerana itu pihak ketiga atau setengah orang melabelkan pihak ini sebagai "pihak atas pagar". Kalau kita perhatinkan elok-elok, pihak atas pagar ini bukannya mahukan perubahan dalam kerajaan (tak dinafikan ramai juga mahu penukaran kerajaan), sebaliknya impian mereka hanyalah mahu hidup dengan lebih selesa, kerana itu mereka tidak suka demonstrasi. Menyusahkan kata mereka. Pihak neutral mahu hak sebagai rakyat diambil berat oleh kerajaan. Soalnya kerajaan tidak cukup bijak dalam mendapatkan undi pihak ini. Mereka tidak percaya kepada kerajaan tapi masih sangsi dengan kemampuan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia yang baru. Percaya kepada orang politik sama seperti percaya untuk tidur di dalam kandang harimau. Ditambah dengan idiosinkratik Anwar Ibrahim sebagai pemimpin terang-terangan dibunuh oleh UMNO.

Bagi aku terdapat beberapa kemungkinan yang mungkin berlaku dalam politik Malaysia hari ni.

Satu:
Wujud pertukaran kerajaan. Kerajaan yang baru dipilih adalah kerajaan yang paling sengsara dalam sejarah Malaysia. Dalam proses kerajaan baru menyakinkan rakyat, pastilah akan diserang sehabis habisnya oleh kerajaan yang kalah. Perang propaganda yang semakin meningkat naik, keadaan yang makin tidak stabil akan mungkin berlaku.

Dua
Wujud pertukaran kerajaan, kemenangan majoriti yang besar. UMNO tidak mampu lagi bersaing, which is dalam hal ini sangatlah ajaib jika UMNO kalah dalam majoriti yang besar. Bagaimanapun keaijaban dan revolusi mungkin juga menjadi kenyataan, apatah lagi semua propaganda UMNO sangatlah gagal. Terutamanya dalam blog menteri-menteri mereka, youtube sembang rakyat (viral video yang paling banggang), utusan, buletin utama atau twitter KJ yang kian merapu. Semuanya sudah hilang kredebiliti. Sekiranya kemenangan besar boleh dicapai oleh pihak PKR maka mereka akan menubuhkan satu kerajaan yang kuat dan cekap. PKR akan gusar dan mengambil sebagai kegagalan UMNO sebagai iktibar, seterusnya akan mengurangkan kadar korupsi dan memaksimakan segala kadar urus negara. Kesedaran tentang people power semakin meningkat di pihak atasan.

Tiga
Tidak wujud pertukaran kerajaan, maka semakin ketat lah hak untuk berkumpul, AUKU dan segala hak sebagai rakyat akan dikongkong. Dan tidak bermaksud hak-hak berkumpul melaungkan suara ini tidak membolehkan negara semakin maju. Boleh jadi semakin kurang penentangan memberi peluang kepada kerajaan UMNO membentuk kembali negara bangsa Malaysia. Dan boleh jadi juga korupsi dan salahguna duit rakyat semakin menjadi-jadi, kerana kita sukar meramal tingkah laku manusia apatah lagi ahli politik. Tambah pula dalam keadaan begini yang mana rakyat semakin agresif menentang, sempat lagi muncul isu Khir Toyo dan Sharizat Jalil menyalah duit kerajaan berjuta-juta ringgit.

Empat.
Tidak wujud pertukaran, bagaimanapun semua hak yang diperjuangkan oleh GAMIS, SMM, Occupy Dataran atau semua pihak yang bertentangan akan ditunaikan oleh kerajaan sebaiknya dan seadilnya. Kerajaan semakin gusar dengan kebangkitan rakyat. Dan rakyat semakin bebas menghentam kerajaan sehingga menteri-menteri tidak berani untuk masukkan duit ke dalam poket mereka. Bagaimanapun, semakin banyak tuntutan oleh rakyat dengan cara demonstrasi tidak semestinya membawa kepada kestabilan kepada politik. Ketidakstabilan ini boleh menjurus kepada kejatuhan ekonomi negara.

Apa yang aku tulis ini adalah satu pandangan aku sahaja. Tidak bererti apa yang ditulis ini semuanya betul. Tak semestinya tak berdemonstrasi menunjukkan kita mundur kebelakang. Tak semestinya juga mencaci pemuda demonstrasi itu menunjukkan kita lebih bertamadun yang kononnya tidak akan terlibat dengan apa-apa kekerasan. Kerana bagi mereka, biarlah bersakit sehari dua asal hari esok akan menjamin kebahagiaan. Sebenarnya semua ini tidak menjamin apa-apa, peta politik tidak boleh diramal seperti cuaca. Kita hanya patut menghormati antara satu sama lain, jangan jadikan hal ehwal politik menimbulkan kebencian dan perasaan yang buruk-buruk.

Sekian sahaja pendapat dari seorang warganegara Malaysia. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tak ada pendapatan.

Sep 23, 2011

#4

Positif tentang Singapura dari kaca mata aku sepanjang tinggal disini:

1. Kota yang bersih.

2. Tak payah nak cium bontot orang untuk naik gaji/pangkat.

3. Sing Dollar agak best boleh menjurus kepada buying/travel power.

4. Barang original yang murah. Top Man ke Zara ke tak class langsung dimata mereka.

5. Public transport yang sangat menakjubkan, nak pergi mana-mana boleh sampai dengan cepat (negara kecil)

6. Efisien adalah kata kunci mereka. Cara mereka uruskan sesuatu sangat tersusun.

7. Rajin dan sangat kompetitif. Kalau malas, kau akan mampos. Maybe ini dasar Lee Kuan Yew yang kemudian ditiru oleh kerajaan Malaysia dengan memperkenalkan terma "modal insaniah".

8. Semua benda cepat. Aku suka fast pace. Kalau lambat-lambat aku boleh jadi lemau.

9. Berdisplin. Tak buang sampah merata, tak merokok suka hati, hobi mereka adalah beratur.

10. Majikan bayar gaji dengan baik, kebanyakkan expatriate dibayar gaji mengikut kadar antarabangsa. Pesimisnya mudah; untuk khidmat internasional, gajinya pun internasional lah boi. Kalau tak orang kerja pun kawtim-kawtim lah.

11. Murtabak Singapore

12. Sistem pendidikan yang boleh dikatakan gred A. NUS sebuah universiti terbaik di regional ini. Kalau nak compare dengan universiti Malaysia sangat jauh. Bila aku borak dengan student diploma pun rasa macam kita dah jauh sangat ketinggalan.

13. Korupsi kurang berlaku. Dengar kata ahli politik mereka gaji lagi mahal dari pemimpin rumah putih. Bak kata mudahnya, duit tak habis sial!.

14. Teh tarik kat Little India sedap nak mati.

15. Ramai awek dengan cara berpakaian yang mendebarkan jantung. Kadang-kadang bila kau berjalan je kau ternampak sesuatu then kau akan cakap "oh wow". Merujuk kepada anggota badan awek tersebut yang sengaja nak tunjuk.

16. Dekat dengan Malaysia.

Sebab ke 16 itu sangat penting. Dapat gaji yang hampir sama nilai dengan negara moden lain tapi tidak jauh dari Malaysia. Bila-bila masa aku boleh nak balik ke Kota Bharu. Sujud syukur atas limpah rezeki daripadaNya.

Mari kerja keras lagi boi.

Sep 12, 2011

#3

Biarpun rebah, jatuh kesakitan.

Setidaknya aku masih ada kau.

Sep 8, 2011

#2

Aku suka kucing. Kat rumah aku ada kucing nama Bunc. Aku juga tidak punya masalah dengan mana mana kucing. Aku sayang kucing atas setakat aku sayang kucing dan tak lebih dari prinsip itu.

Maka hubungan aku dengan kucing adalah seperti manusia dan binatang, tak lebih tak kurang. Tapi sekarang ini, masa depan dan hak kucing kadang kala dilaungkan lebih tinggi dari nilai manusia sendiri?.

Isu petknode tiga empat hari lepas misalnya diperjuangkan dengan sangat lantang oleh rakyat Malaysia. Permis itu diserang oleh NGO sehinggalah ia membentuk satu isu semasa yang sangat populist dan sampai ke telinga pemimpin tertinggi negara. Syabas kepada rakyat Malaysia kerana telah mewujudkan satu kesedaran menyayangi binatang dan makhluk lain dimuka bumi ini.

Tapi yang aku hairan kenapa isu kemiskinan tidak diperjuangkan macam mana isu kucing tadi?. Isu kemiskinan dan peluang pendidikan percuma tidak pun dibangkitkan macam mana kita bangkit menentang kezaliman terhadap kucing.

Tahu kenapa?.

NGO kebanyakkan adalah orang yang mendapat pendidikan, mereka berupaya untuk menanggung perbelanjaan pembelajaran anak mereka dan kebanyakkan mereka orang bandar yang tak akan paham untuk melihat dunia miskin daif orang kampung bagaimana. Itu hak mereka untuk memperjuangkan isu mereka, kerana NGO juga punya kepentingan mereka sendiri. Pastilah isu yang dekat dengan mereka yang diperjuangkan dahulu.

Macam aku kata, aku tak ada isu dengan kucing. Aku sayang kucing, bagi kucing makan, peluk kucing, kadang kadangkan kena taikkan dek kucing. Cuma yang aku impikan, kita meletakkan taraf yang sama juga mengenai isu manusia yang lain. Alangkah bagus kalo kita bersama sama bangun menuntut khidmat kesihatan dan pendidikan yang percuma dahulu, kemudian hal kucing itu kemudian.

Kita tak tahu berapa ramai manusia yang menderita kerana tidak mampu membiayai kos perubatan. Kita tak tahu berapa yang miskin hingga tak mampu bersekolah sehingga terus miskin untuk beberapa generasi. Alangkah bagusnya kita perjuangkan hak manusia tanpa melupakan hak binatang dan alam sekitar untuk terus hidup bersama.

Mungkin aku salah.

Tapi membantu manusia yang memerlukan tak salah kan?.

Sep 7, 2011

#1

Macam mana agaknya kalau dunia yang kita tinggal hari ni tanpa telefon tangan?. Dulu kalau kita ada janji temu dengan seseorang boleh aja kita jumpa. Tapi sekarang tak bawa telefon dua minit pun boleh resah. Kalau boleh nak masuk jamban pun nak bawak phone. Nak twit time berak?. Jatuh phone dalam mangkuk jamban, then macam mana kita nak explain kat orang kejadian tu nanti.

Aku pun tak leh hidup tanpa phone. Entri ini pun ditulis dengan phone - sekarang aku atas train menuju ke Changi.

Cuma aku bayangkan sejauhmana kita dulu punya keinginan yang kuat dan perancangan yang teratur. Kalau tak memang payah kita nak janji kat mana nak jumpa. Komunikasi satu masa dulu sesuatu yang terbatas tapi kita laksanakan dengan bagus. Lagi satu, dulu kita kalau duduk rumah memang sangap gila, tak tahu dah cerita terbaru. Tapi sekarang kita tak yah lepak lagi, on je twitter atau facebook, cerita pasal Joyah tak gosok gigi kita dah tahu. Teknologi hari ni jadikan komunikasi fizikal semakin pupus.

Macam mana pun aku selalu rasa benda ni bagus, setidaknya aku rasa dekat dengan kawan kawan aku. Cuma yang tak bestnya pula, teknologi buat kita makin malas.

Bagaimana kalau satu hari nanti teknologi yang kita ada hari ni lenyap?. Kira rosak la lebih kurang. Mesti ada antara kita yang jadi gila. Terlalu bergantung pada teknologi akan membunuh naluri manusis kita. Jadi kadang kadang buatlah benda secara manual, hantar surat cinta dengan pos Malaysia misalnya. Oh ya, jangan lupa taruk bedak sama.

*ditulis dengan phone, kalau typo hancur sila abaikan.
**aku rasa better tulis blog dengan phone sebab aku tak mencarut-carut panjang, then aku boleh update selalu blog masa tengah atas train.

Aug 31, 2011

Your Truly Mood Disorder Friend

Seperti yang selalu aku bilang dalam setiap apa yang ditulis sebelum ini. Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa hidup pada kenangan, cuma yang bezanya sekarang; kenangan itu muncul dalam bentuk yang bukan memedihkan lagi - ia memori indah yang buat aku selalu senyum.

Satu benda yang common tapi payah nak belajar... kita patut minta maaf dan memaafkan orang lain tanpa banyak syarat atau persoalan yang remeh temeh. Lalu atas dasar yang semudah itu, memori sakit-tenat-benci-marah itu akan pergi sendiri. Pernah aku berada dalam keadaan dipresi kerana marah pada kehidupan. Mungkin juga kerana darah nang muda yang mendidih, kebencian itu seperti sudah erat dalam jiwa hitam ni. Benci kenapa jadi begini dan begitu?. Persoalan orang muda yang letakkan kewarasan di kepala lututnya bila berfikir. Aku memang begitu, anak muda yang tidak seberapa waras bila cuba cari kerasionalan dan logik.


Satu hari aku sedar pada peraturan yang mudah, pada setiap ketentuan itu punya jalannya sendiri. Ada yang berliku dan yang lurus atau curang cenuram. Ia akan datang jua pada kita kalau kita tak sedar macam mana pun ia muncul selagi setiap doa itu diekori pada usaha keras. Jangan pernah punya perasaan benci.

Terima kasih kerana perasaan dendam, marah atau benci pada manusia yang pernah aku kenal telah disiram air, kemarahan itu Tuhan telah tukar jadi ais beku. Dulu memang benci dan berdendam dengan orang yang datang untuk buat onar dalam hidup aku. Tapi aku dah biarkan perasaan itu pergi jauh-jauh, anggap ia sebagai salah satu laluan menuju ke pengakhiran umur sambil bertatih perlahan dan senyum walau pahit. Belajar untuk memberikan bunga kepada setiap perasaan jahat yang datang dalam jiwa ni. Aku tak mahu benci pada siapa-siapa pun.

Ia seperti perasaan paling aman dalam fasa hidup pasca universiti. Kalau kau masih benci kat aku, itu sudah diluar bidang tugas aku lagi. Cuma aku tak dendam pada siapa-siapa pun. Kadang-kadang rasa annoying tu ada la juga - aku manusia normal macam hangpa semua kot yang menyampah boleh datang tiba-tiba.

*

Ya kenangan lama yang indah macam aku cuba maksudkan. Satu pengalaman yang tak boleh dilupakan dalam fasa kehidupan aku [selain fasa sekolah menengah dahulu]. Kenangan yang cuba aku cakap ini adalah tiga empat tahun lepas, tak lama pun dan masih lagi jelas kat ingatan aku. Kalau mereka baca blog ini dari mula, sebenarnya blog ni berbentuk humor sebelum bertukar kepada blog budak lelaki broken heart. Kalau aku kata, blog ini jenis yang humor ringgan-ringgan maknanya tak ada keresahan jiwa yang aku boleh merakamkan semasa tu.

Zaman itu kalau tidak terlalu lama sangat pun untuk mengunakan term zaman, tapi ia telah berlalu. Ia adalah zaman yang semua kawan-kawan selalu dengan aku, punya masa seperti aku dan nasib yang sama seperti aku, lintang pukang cari arah untuk memulakan perjalanan. Boleh kata kawan-kawan aku ni sentiasa free, kaki lepak chillax sana sini, dan tak pernah nak fikir pun apa yang akan berlaku pada masa depan. Kita semua generasi yang tidak pernah hiraukan apa-apa selain hadapi kehidupan ini sehabisnya dengan ketawa ria.

Bagi kami, hidup hanyalah untuk bergembira pada setiap jarum jam berputar dan mata masih lagi terbuka. Biarpun masa tu tak pernah ada duit pun. Serious wei tak ada duit, nak isi minyak kereta pun parah, nak makan pun sakit, beli rokok pun kadang-kadang sebatang-sebatang. Tapi siapa kisah, hidup berjalan dan terus bergembira dari pagi sampai pagi.

Gembira aku bukanlah berpergi berfoya-foya di kelab malam macam anda fikirkan. Untuk ke kelab malam aku bukanlah orangnya. Mencari kegembiraan aku mudah sahaja, asalkan bersama dengan kawan yang aku suka dan hari itu akan terasa macam tidak pernah cukup untuk melakukan aktiviti bodoh yang ntah apa-apa. Aku tak reti nak explain macam mana nak gambarkan kegembiraan yang aku cakapkan, tapi seolah-olah kau ada happy pills dan dunia ini milik kita semua.

Tak payah aku nak sorok tentang perasaan ni yang start membuak kat hati jiwang berbunga aku. Sesungguhnya aku rindu pada kawan-kawan yang close dengan aku masa tu, terutama Jay, Rewan, Pjoe, Nasir, Fazleena, Ajun serta geng-geng yang selalu datang rumah untuk lepak atau ke mana-mana tempat yang boleh dijadikan sebagai port ngeteh sambil berbual tentang falsafah cinta koyak rabak atau dunia yang kononnya art sampai payah untuk dikongsi dengan orang lain. Malu juga nak mengaku yang merekalah orang yang selalu memberi inspirasi kat aku untuk terus buat apa yang aku suka. Orang yang selalu percaya pada aku, beri kasih sayang biarpun kami bukanlah dari darah daging yang sama.

Dulu Pjoe dan Nasir selalu ada time aku sedih broken heart, bikin aku happy dengan aktiviti bodoh bersama. Jay adalah orang yang selalu bercerita pasal benda-benda romantik karat, dia adalah punk paling jiwang selepas Joey Ramones dan Rewan orang aku cakap pasal luahan kerja yang penat serta jadi cikgu design tak berbayar. Fazleena dan Ajun pulak selalu bagi sokongan moral kat aku time aku down or mengada tak semena. Semua mereka aku anggap macam keluarga aku sendiri. Maybe aku budak manja sikit kot tapi berlagak macam tough guy.

Heh!.

Aku tahu, kadang-kadang aku masih berharap semoga aku ni masih budak-budak. Maksud aku tak punya tanggungjawab apa-apa, pergi melepak kat mana-mana sesuka hati, bebas bagai burung merpati. Aku selalu berharap begitu. Tapi nyata, realiti memang memedihkan. Realiti mengigit aku seperti anjing yang nak ngongong tulang, perlahan-lahan jiwa yang seronok itu hilang entah kemana - macam lost soul gitu. Payah nak diterangkan pada mereka yang belum melepasi tahap ini, tapi transaksi umur begini memang buatkan aku rimas. No wonderlah The Ramones pernah tulis lagu I Dont Want Grow Up, perlahan-lahan menjadi tua itu sangatlah membosankan.

Memang tak dapat nak larikan diri dari proses ini, kerana setiap manusia akan kena hadap proses ni - kalau guna bahasa bodoh aku sendiri, namakan aja sebagai proses pergantian hormon penuaan. Ada ke yang tak pernah kena penyakit ni?. Maybe kalau ada pun, depa tak nak kongsi dengan sesiapa sebab malu. Ada orang kata, ekspresikan perasaan anda adalah bagus untuk kesihatan mental.

Sebelum entri makin panjang entah kemana, baik aku sambung balik apa yang aku nak cakap.

Purpose of life bukanlah material seketul-ketul tu je, tapi hiduplah kita untuk terus memberi kasih sayang dan bergembira dengan cara kita sendiri bersama dengan kawan-kawan seperti kita sahaja yang ada dalam kota ini. Kata yang lebih mudah, raikan hidup sampai bila-bila dengan kawan-kawan baik yang kita sayang.

Masalahnya, ini semua adalah satu konsep yang idealistik, kita tak mampu untuk bertindak begitu selama-lamanya. Pada satu tahap, kita akan menjauhkan diri dari kawan kita. Bukan jauh benci, bukan jauh kerana kita tak sama lagi, bukan kerana kasih sayang tu sudah padam. Tapi hakikat yang pedih perlu diingat, "kawan datang dan kawan pergi" atau juga boleh jadi kita yang pergi. Itu hakikat boi! - ia lumrah dalam kehidupan kita.

"Pergi" yang aku kata tu bukanlah tidak lagi rapat ataupun bergaduh bertumbuk bermasam muka. Kalau jumpa, masih lagi macam mula mula kita kenal dulu.

Begini... atas banyak sebab "kawan datang dan kawan pergi", orang ada kerjaya masing-masing, waktu harian kita dah tak sama. Faktor lokasi itu juga memberi peranan, kalau Damansara-Ampang pun kita dah malas nak pergi inikan pula antara jarak Semenyih dan Gopeng. Bukan malas as malas begitu je, tapi sebab kau ada hal yang nak buat... then delayed dan terus delayed, last sekali bertahun tak jumpa, padahal rindu juga nak lepak macam kita selalu buat dulu-dulu.

Contoh yang berlaku pada aku dan Nasir, dah makan tahun kami tak jumpa peluk-peluk cium pipi. Masa duduk KL dulu aku sibuk 24 jam, padahal rumah Nasir duduk tak jauh mana pun dari rumah aku [lepas aku tak tinggal lagi sama-sama sebab dapat kerja di daerah lain]. Dari sehari lepas ke sehari, sampai sekarang tak sempat lagi jumpa Nasir. Lagi lah sekarang aku dah stay kat Singapura, memang bertambah tahun seterusnya lah tak berjumpa. So agaknya macam mana muka Nasir sekarang ni?. Dengar kata pergi belajar ilmu agama kat sekolah pondok.

Kalau nak diikutkan rekod lama-lama pula, aku pernah ada kawan rapat nak mampos sampai makan dalam satu pinggan yang sama masa tingkatan tiga, lepas dia berpindah sekolah, kami terus lost contact. Cuma kalau lost contact macam mana pun, dia masih lagi di ingatan bukan?.

Aku pun sedar, aku ni bukan reti berkawan, jauh sama sekali nak jadi seorang kawan yang baik. Aku tak reti nak talipon tanya khabar or sms cakap "apa hang buat ni?". Aku takut lama-lama perasaan sayang tu akan pergi dan bila kita jumpa lagi momen awkward pula muncul entah dari mana silapnya - benda ni dah banyak kali berlaku boi.

Macam seperti bait-bait lirik lagu Remember Me dari sebuah kugiran yang pernah popular di UK tak lama dulu, The Zuttons. Depa ada cerita macam mana friendship kadang kala lebih komplikated dari relationship.

Oh remember me I'm your best friend
And we don't talk no more
So if you're in the neighbourhood
Don't forget to knock on my door

Payah.

Memang nak mengeluh pun tak ada guna. Kerana ini sebetulnya hakikat yang perlu kita telan. Kawan datang dan pergi semahunya, biarpun tak pernah terngumpat walau sekali. Kelak nanti kawan akan pergi juga tapi tak pernah mustahil kita akan bersama kembali kalau tak ada aa.

Cuma, jangan cakap sahabat akan ada selamanya, sahabat dan kawan tu sama saja. Tak perlu kita bezakan maksud yang sudah hampir sama, membuang masa je boi.

Maksud aku mudah sahaja dari apa yang aku nak cakap;

1-bersedialah hadapi transaksi umur/kehidupan/a way of life
2-jangan kecewa kalau kawan rapat kita pergi pun, kerana mereka sentiasa dihati walau jauh atau lama tak jumpa. Tangan terbuka bila-bila untuk terima kita as long tak cari gaduh.
3-setiap orang punya jalan mereka sendiri, kehendak mereka sendiri. Tak perlu nak sibuk untuk membuat keputusan orang lain sampai tak respect kat depa.
4-kawan kita punya keluarga mereka dan kita hanyalah bersifat sementara. Itu hakikat boi.
5-konsep kawan sehidup semati itu tak wujud, terlalu tinggi untuk labelkan sebagai sehidup semati.
6-sayanglah kawan-kawan kita biarpun berjauhan beribu batu pun, jarang berinteraksi atau tidak lagi sama pendirian. Terima mereka seadanya seperti mana kau diterima oleh mereka tanpa banyak soal.

Gila!.

Aku rasa di pagi raya kedua ni, aku rasa sangat melankolik bila diingatkan kembali kepada gembira dan gelak ketawa bersama kawan-kawan yang sentiasa ada sama-sama tak kira masa banyak duit atau duit dah kering. Rasa macam semalam masih lepak dengan dorang kat Mali's Corner je.

Cuma semua sudah berubah, walaupun perangai kita tak berubah sekali pun, tapi faktor kerja, gaya hidup, masa, lokasi atau macam-macam yang lain telah merubahkan keadaan yang dulu menjadi satu bentuk yang lain. Bagi aku, benda ni berubah cepat sangat sampaikan aku rasa kehidupan muda-mudi aku telah dicabul oleh kerjaya. Actually aku tak sempat lepak-lepak sangat, sebab masa universiti lagi aku dah kerja dalam apa yang aku buat sekarang ni. Efeknya masa terluang aku dulu pun memang limited, tambah sekarang ni memang tak payah nak cakap lah.

Itulah realiti yang kita tak sedar.

Jadi tak perlu ungkit kawan kita sudah tak ingat kat kita lagi, kawan yang benar-benar kawan itu sentiasa dihati kalau tak berjumpa pun.

Benda yang paling jelas untuk aku letakkan sebagai sample tentang nilai kawan. Aku dan Pjoe tinggal sekampung. Rumah aku maybe dua kilometer sahaja dari rumah dia, sekali aku tekan minyak kereta dah sampai kot. Tapi aku baru sekali jumpa dengan dia, padahal dulu masa kat KL kami duduk satu rumah, balik kampung pun sama-sama, masih lepak kehulu kehilir kat kampung.

Tak sama langsung macam dulu. Aku tak salahkan sesiapa, kerana ini adalah hakikat. Dia punya family, aku pun sama. Bukan aku tak rapat dah dengan dia, aku masih lagi close dengan dia macam dulu. Cuma bezanya interaksi itu, cara kita habiskan masa tidak lagi sama. Apa-apa pun aku tahu kami sentiasa baik, harap dapat hang out lama-lama, boleh jugak pasang gosip skit.

Jadi jangan nilai sebuah sahabat itu pada sebanyak mana kita berinteraksi. Kerana kadang-kadang kawan yang lama tak jumpa or dia buat tak tau itulah mungkin paling ikhlas berkawan dengan kita. Kawan akan kekal sebagai kawan sampai bila-bila, tak ada benda yang boleh mengubah persahabatan selagi tak ada perasaan busuk hati dan hasad dengki.

Tiba-tiba aku jadi brotherhood gila pagi raya ni!.

"Lu sentuh Malik, wa kasi pancung sama lu!". Geng Pekida dalam KL Gangster punya spirit sial masuk dalam badan gua pagi-pagi buta ni. Jangan panggil gua abang long sudah, gila tak gangster panggil abang long. Letak lah nama abang ganas iswara putih ke, tak pun abang harimau belantara ke, baru bunyi gangster dol.

So kawan-kawan, maaf kerana terpaksa baca tulisan yang agak "trololo" ni. Nampaknya anda termakan satu hidangan yang melankolik pada hari raya kedua ni. Walaupun kau rasa apa yang aku cakapkan ni tak ada asas ke apa ke, aku cuma rasa perasaan dan idea ini patut direkodkan kat sini supaya aku sendiri tahu bagaimana pandangan aku tentang konsep kawan 5 tahun nanti.

Pokoknya pada aku sekarang, "kawan" tidak boleh dijudge, tidak boleh diukur dengan alat elektronik, atau dibaca pada meter kita bertwitter setiap hari dengan mereka.

Persahabatan adalah sesuatu yang indah. Ia seperti sebuah kisah cinta dan kasih sayang yang dicipta oleh kita tanpa sedar. Ia adalah ikatan yang tidak mengikat. Ia adalah pengalaman suka duka yang dilalui sepanjang kita tempoh kehidupan yang mendewasakan. Ia adalah satu perasaan yang luhur.

Bukanlah aku tak ada siapa-siapa untuk lepak bersama. Aku cuma tulis kerana aku happy masa bersama kawan-kawan aku dulu, zaman bila masa tak kisah dengan duit, zaman tak pernah gentar pada masa depan kat depan, motif hidup adalah untuk meraikan kota raya.

Hakikatnya boi, kehidupan yang makin dewasa adalah serious dan bukan lagi permainan. Orang muda seperti aku dahulu hidup dalam fantasi sebelum terjatuh kepada realiti.

Apa pun aku tetap bahagia dengan apa yang aku ada sekarang. Aku dah dapat apa yang aku nak sebelum ini dan aku terpaksa kehilangan sesuatu yang lain. Tak semua yang kita ada boleh simpan serentak. Jadi jalan yang paling ringkas adalah bersyukur dan berterima kasih.

Fuh penat aku tulis benda yang tak ada erti ni. Tak ada erti untuk orang yang tak faham bagaimana kitaran sosial ini terbentuk. Lagi tak bererti untuk orang yang tak pernah hidup bagai orang muda. Gua tak kisah untuk jiwang rabak macam mana pun, janji jangan skema pakai baju seluar atas pusat, hari-hari duk kat library. Anak Melayu kena kental skit tapi jangan hanyut sudah.

Akhirkata dari lelaki jantung pink ini...

Selamat hari raya maaf zahir batin di atas segala kekasaran bahasa yang ditulis selama ini, termasuklah mengunakan bahasa yang tidak sopan untuk dibaca, terutamanya kepada kawan-kawan yang selalu baca blog ini dari era bmx, era dipresi, era jatuh cinta dan putus cinta kemudian bercinta balik sampailah kepada aku dah berhijrah ke Temasek. Satu lagi apa yang aku harapkan adalah apa yang ada kat dalam blog ini biarlah kekal dalam blog, tak payah tanya aku kat luar. Malu aku dol nanti!. Lagi pun aku tak reti nak react dengan soalan pasal blog ni. Aku hanya ikut macam mana orang cakap... ekspresikan perasaan anda adalah bagus untuk kesihatan mental.

Peace dari saya yang sentiasa hidup dalam nostalgia ini. Moga dunia makin terus aman, penuhi dengan cinta ya boi!.